Friday, October 16, 2009 | By: pu3pangkor

1Malaysia bersama 50,000 rakyat Perak

UtUsan Malaysia
16/10/2009 4:28pm

IPOH 16 Okt — Lebih 50,000 rakyat berbilang kaum dan agama dijangka memenuhi Stadium Perak di sini Ahad ini bagi pelancaran program 1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain persembahan nyanyian dan kesenian, program yang akan dilancarkan pada 8.30 malam itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pameran dan gerai jualan yang bermula esok.

Program ”1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak” yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan acara mesra rakyat itu adalah yang julung kali diadakan dan ia akan dilancarkan di setiap negeri selepas ini.

Menurut atur cara program itu, ia dimulakan dengan gotong-royong Perdana 1Malaysia di pekan Chemor pada 7 pagi manakala aktiviti demonstrasi melukis oleh Angkatan Pelukis Perak, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan teka-teki 1Malaysia akan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak serta Stadium Indera Mulia di sini.

Lambakan barangan antik di pasar Lokin di sini serta ekspo dan gerai jualan di perkarangan Stadium Indera Mulia yang berterusan sehingga waktu malam pada hari Ahad juga dijangka mendapat sambutan hangat.

Aktiviti ”RTM Turun Padang” dan Pentarama juga akan diadakan di kawasan sekitar stadium itu bagi menyebarkan maklumat serta menghiburkan rakyat Perak menerusi rancangan radio dan televisyen.

Ahad yang merupakan hari kemuncak pelancaran pula dimeriahkan dengan Senam Seni 1Malaysia, pameran 1Malaysia dan pertandingan pidato 1Malaysia pada sebelah pagi di Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia di sini.

Pada sebelah malam pula, Perdana Menteri dijangka tiba pada 8.40 malam di Stadium Perak dengan diiringi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi melancarkan program berkenaan.

Nyanyian lagu Negaraku, 1Malaysia dan lafaz ikrar Rukun Negara akan diperdengarkan sebelum Rais dan Zambry menyampaikan ucapan masing-masing.

Sejurus lepas itu, Najib akan menyampaikan ucapan pelancaran yang akan dihayati tetamu yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan.

Program itu tidak berhenti malam itu kerana kerajaan Perak dan Kelab Roadrunners Ipoh akan menganjurkan Larian Festival 1Malaysia pada 25 Okt sempena pelancaran program 1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak itu.

Larian yang akan bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Padang Gajah, Bandar Seri Botani di sini mulai 7.30 pagi itu, terbuka kepada 1,000 peserta daripada pelbagai kaum.

Program ”1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak” yang akan diadakan selama dua hari itu adalah anjuran kerajaan negeri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman, sokongan dan penghayatan rakyat mengenai gagasan itu selain memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara.

— BERNAMA

0 comments:

Post a Comment